Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Khamis, 12 Mac. - Pameran dan jualan pelbagai fesyen eksklusif Brunei, Let's Raya, anjuran Thevent Co buka tirainya hari ini sejurus berlangsungnya Majlis Perasmian Let's Raya Ke-8 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini.
Berkenan berangkat bagi merasmikan acara tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Rakiah binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Seiring dengan tema 'Raya Dalam Setiap Detik', Let's Raya 2026 menjemput para pengunjung untuk sama-sama merasai detik-detik bermakna ini sambil melengkapkan persiapan Raya bersama keluarga dan rakan-rakan menjelang sambutan perayaan yang bakal tiba.
Pengunjung boleh membeli dengan pelbagai tawaran selain fesyen, termasuk penjagaan kulit, kosmetik, kuih raya dan keperluan perayaan lain, bersama koleksi raya eksklusif daripada jenama terkenal Malaysia seperti Thalia, Raezar, Ataraxia, Kalima dan Yanareka serta kegemaran tempatan termasuk T.Silk, Sharqiaa Hijab Brunei dan Saadeddin Pastry Brunei.
Edisi tahun ini juga menyaksikan tokoh terkenal Malaysia, Rizman Ruzaini bersama kemunculan penyanyi terkenal Malaysia, Ziana Zain serta personaliti Malaysia, Dayah Bakar, yang akan hadir melalui kerjasama bersama Thalia.
Pada tahun ini ialah Zon DIY yang baru diperkenalkan, di mana pengunjung boleh memperibadikan beg 'tote' mereka menggunakan pilihan lencana pra-cetak yang direka khas.
Lencana tersebut menampilkan ilustrasi yang diinspirasikan daripada mercu tanda Brunei, kuih dan hidangan ikonik tempatan serta dekorasi dan elemen perayaan Raya, membolehkan pengunjung menyesuaikan beg 'tote' mereka sambil mencerminkan aspek budaya Brunei dan semangat musim perayaan.
Aktiviti ini memberikan pengalaman yang menarik kepada pengunjung serta cenderamata peribadi daripada Let's Raya 2026.